Kata-kata Aluan Guru Besar

En. YEAP CHIN KIONG

Saya berasa syukur dan gembira kerana dengan bantuan dan usaha dari Lembaga Jemaah Pengurus Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta pemimpin-pemimpin politik masyarakat tempatan, maka Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Ming, Sanglang berjaya melancarkan program homepage sekolah di internet.

Sekolah ini terletak 18 km dari Pejabat Pendidikan Daerah Pontian. Kawasannya meliputi seluas 0.334 hektar dan mempunyai beberapa blok bangunan setingkat yang terdiri daripada pejabat, bilik darjah, bilik khas dan stor.

Sekolah ini merupakan sekolah gred B kecil. Bilangan guru dan murid sehingga 31 Ogos 1998 adalah seramai 4 orang dan 63 orang masing-masing. Seorang pekerja rendah awam sekolah akan bersara pada 22 November 1998.

Bilangan murid sekolah ini semakin berkurangan disebabkan beberapa faktor tertentu. Salah satu daripada faktor tersebut adalah ramai pemuda-pemudi pekan ini telah berhijrah ke bandar lain untuk mencari pekerjaan. Selain itu, sekolah ini selalu menghadapi kekurangan tenaga pengajar yang sedikit sebanyak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam zaman ledakan maklumat ini, homepage sekolah selain bertujuan memberi pendedahan yang bererti kepada murid-murid dan guru-guru sekolah ini, ia membolehkan kita tidak tertinggal zaman dan selalu mengikuti perkembangan dalam dunia Teknologi Maklumat yang semakin canggih ini.

Akhir kata, kemudahan komputer boleh mendatangkan faedah yang besar jika kita menggunakannya sepenuhnya.

Sekian, terima kasih.

 

YEAP CHIN KIONG

Guru Besar SJK(C) Yu Ming, Sanglang.